Tuesday, February 26, 2008

Ibu tiri pertama

Di kala anak orang lain sedang lena dibuai mimpi indah di dalam pelukan ibu masing-masing, aku dan abang aku hanya mampu terkebil-kebil dalam bilik kecil setelah ayah kami kahwin lagi. Umi terpaksa tidur di rumah nenek. Kesian umi. Kesian juga pada kami berdua anak umi. Tergamak ayah aku buat begini. Manusia oh manusia.

Emak baru aku keturunan Siam. Aku masih ingat dulu semasa Sharifah Aini top. Ayah aku minat dia. Emak aku pula wajahnya serupa Sharifah Aini. Mungkin itu alasan kenapa ayah menikahi Umi. Jadi, kenapa ayah menikahi Meriam, yang merupakan emak baru kami? Oh, mungkin wajahnya seiras Ramlah Ram. Maklum lah. Ramlah Ram juga top masa tu. Jadi lah ayah aku suami kepada bintang. Bintang apa aku tak pasti. Bintang kahwin ramai barangkali. Hm.. Yang peliknya, kami berdua disuruh memanggil emak baru tersebut dengan nama Kak Ni sahaja. Kenapa aku lupa. Mungkin dia perasan masih muda. Aku lupa! Pernah aku bertanya abang aku. Dia juga lupa!

Di antara adik-beradik ayah aku, tidak satu pun yang menurut jejak Tok Ayah yang kahwin ramai. Tok Ayah kahwin 13 orang. Hanya empat yang kekal. Yang lain aku tak pernah dengar berita. Atau aku yang terlepas dengar? Ah, lupakan.

Ratapan Anak Tiri

Cerita Ratapan Anak Tiri itu membuat aku mahu menelan sahaja TV di depan mata. Semua itu tipu. Bagaimana mereka mampu memahami perasaan aku? Tidak betul apa yang dipaparkan. Namun diakui ia berjaya mendapatkan simpati rakyat Malaysia di bumi bertuah ini.